Ajal, rezeki dan jodoh hanya ditangan ALLAH
Wednesday, 21 October 2009
Setelah lama merancang untuk mendirikan rumahtangga, akhirnya perancangan hanya tinggal perancangan. Pastinya hati manusia yang lemah ini akan ada sekelumit rasa kecewa dan putus asa. Jika tidak mengapa ALLAH kurniakan aqal dan nafsu untuk manusia. Tidak lain untuk imbangan kehidupan manusia sebagai khalifah atau pegawai ALLAH di muka bumi ini. Dan yang paling besar sekali hikmahnya adalah untuk tunjukkan bahawa ALLAH Maha berkuasa dalam segala penciptaan makhluqnya sebagaimana kejadian manusia yang halus itu.
Tiga perkara yang telah putus dan tidak dapat kita nafikan lagi yang disediakan oleh ALLAH. 3 itu adalah Ajal, Rezeki dan Jodoh. Soal ajal tiada yang dapat menyangkal. Semua makhluq ALLAH yang bersifat fana' pasti tidak akan kekal. Begitu juga persoalan rezeki dan jodoh. Semuanya berada dibawah kekuasaan ALLAH untuk tetapkan mana yang terbaik untuk makhluqnya. Cuma hanya timbul persoalan masa dan waktunya sahaja yang masih menjadi hikmah. Sudah semestinya sukar untuk dirungkai bilakah ketiga-tiga perkara itu akan berlaku kepada kita.
Persoalan maut tidak akan timbul kekecewaan. Sebabnya mudah, orang yang sudah meninggal masakan dia sempat untuk beremosi dalam keadaan bergelut dengan sakaratul maut. Akan tetapi persoalan rezeki dan jodoh inilah yang selalu menjadi punca kesyirikan manusia kepada ALLAH. Sempat untuk kecewa dan menyalahkan takdir atas apa yang terjadi. Terutamanya persoalan jodoh. Kecewa dan putus asa mudah melanda bagi manusia yang tidak sabar dan tidak redha dengan ketentuan jodohnya. Ada yang mengambil jalan singkat dengan membunuh diri dan ada juga yang terus berputus asa dengan kehidupan.
Hal ini harus berbalik kepada soal pegangan aqidah kepada ALLAH. Jika kita yakin ketentuan itu datang dari ALLAH, pastinya kekecewaan kita tidak lama. Susah untuk mengelak kekecewaan, yang boleh kita lakukan adalah dengan mengurangkannya sedikit demi sedikit dengan kembali kepada ALLAH. Pokok pangkalnya adalah kembali kepada fitrah iaitu meletakkan kebergantungan hanya kepada ALLAH semata. Makhluq tidak kekal dan yang hanya kekal abadi adalah ALLAH.
Berkaunselinglah kepada yang KEKAL ABADI nescaya hidup akan tenteram. InsyALLAH.
at 19:30
Labels: Tadzkirah